Konsep buku ini adalah sekitar memperkenalkan sikap dan pemikiran sejarah pragmatik. Pemikiran pragmatik ini bahasa mudahnya ialah pemikiran sejarah yang PRAKTIKAL, inovatif, berdaya maju dan berdaya saing, dengan menggunakan pelajaran dari sejarah itu bagi memajukan diri, masyarakat dan negara.
Buku ini terdiri daripada esei-esei yang mengupas isu-isu sekitar sejarah Melayu secara major dan dunia secara minor. Kemudian, melalui perkakas pemikiran sejarah pragmatik tadi, saya menganalisis setiap isu yang mungkin, bagi tujuan mengekstrak semua kebaikan dari sejarah itu sendiri dan merumuskannya sebagai 'blueprint' untuk anda menggunakan segala 'azimat' dan 'keramat' di dalam buku ini demi menghadapi hari mendatang. Buku ini juga menyambung topik Pemikiran Sejarah Pascamerdeka dan topik Seven Years' War yang telah keluar di dalam Rentaka Sekalian Bijasura.
Kursani Segenap Bimasakti juga penuh dengan analisis topik-topik seperti genetik Melayu, institusi raja-raja Melayu dan serangan terhadap sejarah Melayu dan orang Melayu itu sendiri yang biasanya bermotifkan politik.
Seperti biasa, sebab sejarah ni universal maka pelajaran dari buku ini boleh dicerna oleh sesiapa sahaja tidak kira dia siapa dan apa warna kulit dia.
Belajar bagaimana Korea Selatan bina balik premis-premis bersejarah mereka yang musnah akibat perang untuk kekalkan identiti dan perkasakan jatidiri mereka.
Baca bagaimana bangsa Jerman terpukul dengan begitu dasyat selepas Perang Dunia Kedua, satu bangsa menempuh zaman kegelapan.
Tapi orang Jerman ini keyakinan diri dia, jatidiri dia kental macam Panzer. Lepas jatuh teruk, mereka bangkit buat ‘wirtschaftswunder’. Kita bukan pokok, kita boleh bergerak ke mana-mana dan para penjajah itu bukanlah dewa-dewi yang perlu ditakuti. Dakwat mereka sudah lama kering, jasad mereka sudah lama reput, mengapa kita perlu merelakan diri diperbodohkan lagi?
Belajar sejarah untuk melawan perasaan rendah diri. Untuk benar-benar mengaku merdeka, kita mesti benar-benar mencorakkan masa depan sendiri menurut kemahuan sendiri.